Meer menunjukan jongkong Emas 1kg (kiri) dan 500g sempena Jualan Cuci Gudang di Habib Jewels Ampang Point.

Ampang: Habib Jewels Sdn Bhd (Habib), menyasarkan peningkatan jualan sebanyak RM20 juta bagi tempoh empat hari iaitu sepanjang Jualan Cuci Gudang Habib yang bermula 25 hingga 28 Disember 2014.

Pengarah Urusannya, Datuk Meer Sadik Habib berkata, jumlah itu dijangka naik 30 peratus berbanding jumlah jualan yang dicapai pada jualan cuci gudang tahun lalu.

Beliau berkata, buat julung kalinya, Jualan Cuci Gudang Habib turut menawarkan diskaun bukan saja ke atas barang kemas jenama Habib tetapi juga bagi jenama Pandora, Ice Watch, Hearts On Fire dan jenama baru dari Itali, Donna Oro.

“Tahun lalu, kami berjaya mencatatkan jualan sebanyak RM15 juta sepanjang Jualan Cuci Gudang Habib 2013 dan kami menyasarkan peningkatan kerana lebih banyak jenama barang kemas antarabangsa baru yang diperkenalkan pada harga promosi yang belum pernah ditawarkan sebelum ini.

“Jualan Cuci Gudang Habib yang diadakan setiap hujung tahun memang sesuatu yang dinantikan oleh peminat barang kemas Habib Jewels dan kami berharap pelanggan tidak melepaskan peluang berkunjung ke cawangan terpilih Habib untuk mendapatkan barangan pada harga terendah,” katanya pada taklimat media Jualan Cuci Gudang Habib 2014 di sini, semalam.

Menurutnya, Jualan Gudang Habib memberi potongan hebat sehingga 80 peratus untuk barangan kemas berlian dan permata terpilih. Bukan itu sahaja, potongan ini juga membabitkan barangan kemas emas 916 sehingga RM15 segram.

Meer berkata, antara cawangan Habib yang menganjurkan Jualan Cuci Gudang Habib adalah di Ampang Point, Gurney Plaza (Pulau Pinang), Sungai Petani, Ipoh, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuantan.

Beliau berkata, sepanjang Jualan Cuci Gudang Habib, bilik pameran Habib yang terbabit akan dipanjangkan waktu perniagaannya dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Sementara itu, Meer berkata, negara sentiasa mempunyai permintaan terhadap barang kemas yang tinggi bukan saja oleh pengguna di Malaysia, malah luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 10:52 AM