GAMBAR hiasan.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2016 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi mendedahkan kadar purata kebolehpasaran graduan di negara ini meningkat sebanyak 1.1 peratus kepada 77.2 peratus pada tahun ini berbanding 76.1 peratus tahun lalu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, berdasarkan kajian dilakukan setakat 22 November lalu itu, kadar purata kebolehpasaran graduan di institusi pengajian tinggi di negara ini meningkat sebanyak 2.8 peratus bagi tempoh lima tahun mulai 2012 hingga 2016.

Beliau berkata, graduan latihan teknikal dan pendidikan vokasional (TVET) turut menunjukkan peningkatan kebolehpasaran memberangsangkan sepanjang tahun ini dengan universiti teknikal Malaysia (MTUN) menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan pada tahap 87.1 peratus disusuli dengan graduan Politeknik (88.6 peratus) dan Kolej Komuniti (97.2 peratus).

"Daripada 224,575 graduan yang menyertai kajian itu, seramai 126,966 orang (56.5 peratus) memperolehi pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian; 32,063 orang (14.3 peratus) berjaya melanjutkan pengajian; 5,246 orang (2.3 peratus) memilih untuk meningkatkan kemahiran dan 9,053 orang (4 peratus) sedang menunggu penempatan pekerjaan.

"Selebihnya, hanya 51,247 orang graduan (22.8 peratus) graduan yang didapati masih belum mendapat pekerjaan," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Katanya, kajian kebolehpasaran graduan mengikut bidang pengajian pula mendapati graduan dalam pendidikan menunjukkan kebolehpasaran graduan tertinggi iaitu pada kadar 88.3 peratus diikuti oleh graduan bidang teknik (80.2 peratus) serta teknologi maklumat dan komunikasi (78.4 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 7:37 PM