RUMAH yang ditenggelami air akibat banjir. FOTO Aswadi Alias
Oleh Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Bilangan mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 21,630 daripada 5,003 keluarga sehingga 9 pagi ini berbanding 16,452 membabitkan 3,728 keluarga tengah malam tadi.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan, daerah Kemaman mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 12,723 daripada 2,790 keluarga yang di tempatkan di 44 pusat pemindahan sementara (PPS), diikuti Dungun dengan 4,591 daripada 1,222 keluarga.

Bilangan mangsa di Kuala Terengganu mencecah 3,082 (669 keluarga), manakala Hulu Terengganu sebanyak 685 (186 keluarga).

Di Besut, 426 mangsa (104 keluarga) dipindahkan, Marang 115 orang (30 keluarga) dan Setiu membabitkan lapan orang (dua keluarga).

Setakat ini tiada jalan utama di Terengganu ditutup, manakala air di lapan sungai yang melebihi paras bahaya tengah malam tadi turun ke paras amaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 10:00 AM