EMPAT nelayan selamat selepas bot yang dinaiki karam di perairan Sekinchan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


Lumut: Empat nelayan diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 3 Lumut selepas bot mereka karam di perairan Sekinchan, Selangor, dekat sini, semalam.

Bilik Operasi APMM Daerah Maritim 3 Lumut menerima maklumat kejadian itu jam 12.10 tengah hari sebelum melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Pengarah Maritim Daerah, Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata, bot tempatan dari Hutan Melintang itu dinaiki dua lelaki warga tempatan, manakala dua lagi masing-masing warga Indonesia dan Myanmar.

"Ketika kejadian berlaku laut bergelora dan keadaan bot yang sudah uzur menjadi faktor utama ia karam.

"Semua nelayan itu menyelamatkan diri dengan terjun ke laut sebelum diselamatkan sebuah kapal dagang yang dalam perjalanan ke Chittagong, Bangladesh," katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Menurut Zulinda, semua mangsa dipindahkan ke KM Perwira kira-kira 2 petang sebelum diserahkan ke bot Petir 80 milik APMM dan tiba di Jeti Kampung Acheh untuk mendapatkan rawatan susulan, jam 6.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 9:55 AM