AKTIVIS Bangladesh berarak ke arah kedutaan Myanmar di Dhaka, semalam. - AFP
AFP

Dhaka: Badan kemanusiaan berkata, lebih 20,000 orang Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak beberapa minggu lalu dalam usaha menyelamatkan diri daripada serangan tentera Myanmar.

Bangladesh mempertingkat rondaan di sempadannya dalam usaha mengekang aliran pelarian yang cuba menembusinya sejak ketegangan tercetus di Rakhine, barat Myanmar, awal Oktober lalu.

Ketua Pertubuhan Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM) di Cox’s Bazar, Sanjukta Sahany berkata, kira-kira 21,000 kumpulan minoriti etnik itu menyeberangi sempadan Bangladesh sejak dua bulan lalu.

Katanya, kebanyakannya berlindung di kem sementara, kem pelarian dan perkampungan.

“Kira-kira 21,000 Rohingya tiba di Cox’s Bazar antara 9 Oktober hingga 2 Disember lalu. Kiraan ini berdasarkan anggaran oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan bukan kerajaan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, pejabat Pesuruhjaya Tinggi untuk Pelarian PBB di Dhaka berkata dalam satu kenyataan, pihaknya menjangka 21,000 orang lagi akan tiba di Bangladesh dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Orang Rohingya yang berjaya masuk ke Bangladesh menceritakan pelbagai penyeksaan, rogol beramai-ramai dan pembunuhan oleh tentera Myanmar.

Analisis imej satelit oleh Human Rights Watch (HRW) turut menunjukkan ratusan bangunan di perkampungan Rohingya hangus dibakar.

Myanmar menafikan semua dakwaan ini selain melarang wartawan asing serta badan siasatan bebas mengakses lokasi berkenaan.

Pemimpin de facto Myanmar Aung San Suu Kyi semakin dikecam masyarakat antarabangsa kerana tidak melakukan apa-apa dalam pembersihan kaum terhadap Rohingya.

Pada masa sama, Bangladesh memperkukuh sempadannya untuk menghalang kemasukan pelarian dari Rohingya tanpa mengendahkan desakan kumpulan berhaluan Islam dan pembangkang supaya menerima kumpulan tertindas berkenaan.

Sementara itu, semalam, kira-kira 10,000 orang dihalang berarak ke kedutaan Myanmar di Dhaka untuk protes damai terhadap pembunuhan beramai-ramai Rohingya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 9:25 AM