SERGIO Aguero. FOTO EPA
AFP

London: Penggantungan empat perlawanan terhadap Sergio Aguero disahkan oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris selepas dia dibuang padang ketika kekalahan Manchester City di tangan Chelsea.

Penyerang City, Aguero dilayangkan kad merah kerana terjahan merbahaya terhadap pertahanan Chelsea, David Luiz, yang menjurus kepada pergaduhan antara pemain dan jurulatih kedua-dua pasukan pada saat akhir pertembungan Liga Perdana di Eastlands, Sabtu lalu.

Pemain kebangsaan Argentina itu, yang sudah menyumbat 16 gol musim ini, kini akan terlepas aksi liga menentang Leicester, Watford, Arsenal dan Hull.

Aguero pernah digantung tiga perlawanan musim ini kerana menyiku pertahanan West Ham, Winston Reid dan ketiadaannya pasti menjadi tamparan besar dalam usaha City mencabar kejuaraan.

Fernandinho turut dibuang padang kerana menolak Cesc Fabregas ketika insiden itu, yang mana pemain tengah City dari Brazil itu digantung tiga perlawanan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 7:57 AM