Kementerian Pendidikan memberi jaminan melindungi guru sekiranya mereka disaman ibu bapa. - Foto Fal
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kes menyaman guru oleh ibu bapa kebanyakannya berlaku di bandar besar, kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kamarozaman Abd Razak.

Namun, kes sedemikian sangat terpencil dengan NUTP merekodkan tidak sampai satu peratus berbanding jumlah ahli kesatuan seramai 200,000 orang.

“Jumlah guru di seluruh negara kira-kira 430,000 orang.

“Sebagai contoh daerah saya, Pahang, ada kira-kira 3,000 guru, tidak ada kes dibawa ke mahkamah. Kes yang berlaku kebanyakannya membabitkan kawasan bandar besar yang ibu bapa dilihat ‘over-protective’ dan terlalu mendengar nasihat peguam," katanya di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementerian memberi jaminan melindungi guru sekiranya mereka disaman ibu bapa.

Beliau bagaimanapun, berharap tindakan undang-undang menjadi langkah terakhir ibu bapa, kerana sebarang masalah boleh diselesaikan melalui rundingan dalaman.

Kamarozaman menjelaskan pelantikan guru dibuat mengikut Prosedur Operasi Standard dan kelayakan ditetapkan.

"Walaupun berhadapan pelbagai kerenah murid, mereka sebagai profesional akan terus mendidik.

“Cuma kadang-kadang perbuatan mereka disalah tafsir sebagai mendera oleh sebilangan kecil ibu bapa," katanya.

Kamarozaman menarik perhatian bahawa secara umumnya, hubungan antara ibu bapa dan guru tiada masalah, tambahan selepas pengenalan program Sarana Ibu Bapa dan Sarana sekolah - satu program dirancang kementerian untuk membabitkan ibu bapa dalam program anjuran sekolah.

“Melalui program ini ibu bapa boleh masuk sekolah, boleh menyertai program yang sekolah buat bersama anak-anak mereka dan sekiranya ada pertelingkahan, ibu bapa juga akan turut sama mencari penyelesaian," katanya.

Beliau menyambut baik pengumuman Mahdzir itu dan menyifatkannya satu perkembangan positif kepada guru dan memberi semangat untuk mereka berkhidmat tanpa tekanan.

“Ini satu pembelaan... tahniah kepada menteri sebab ini langkah susulan yang baik, kita dah bincang lama isu ini dengan menteri," katanya.

Beliau berkata sekiranya ada guru disaman, mereka boleh merujuk kepada persatuan guru yang menaungi mereka, penasihat undang-undang Kementerian Pendidikan atau pejabat pendidikan daerah masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 10:49 PM