Seorang etnik Rohingya menangis ketika Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya di Kuala Lumpur, Sabtu lalu, membantah kekejaman terhadap etnik itu di Rakhine, Myanmar. - Foto EPA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengeluaran kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan kepada warga Myanmar perlu dikaji semula.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ia bagi memastikan kad itu hanya dikeluarkan kepada etnik Rohingya beragama Islam yang berada di negara ini.

"Saya nak minta pihak Majlis Keselamatan (Negara) melihat balik kad yang dikeluarkan UNHCR yang sepatutnya diberi kepada Rohingya," katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Shahidan bimbang jika pemegang kad UNHCR itu turut melakukan kekejaman terhadap etnik Rohingya di Wilayah Rakhine.

Katanya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu menjalankan siasatan terutama terhadap Menteri Luar dan Kaunselor Negara Myanmar Aung San Suu Kyi kerana membiarkan kekejaman berlaku di daerah itu.

"Dia (Aung San Suu Kyi) kena ingat, dia sendiri harus dilihat sama ada layak atau tidak mendapat Hadiah Nobel Keamanan. Saya tidak sangka yang kononnya memperjuangkan kemanusiaan tetapi membiarkan kekejaman berlaku di negaranya sendiri," kata Shahidan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 10:37 PM