RAMANA menunjukkan jagung bijirin kepada Pegawai Pertanian Daerah Kuala Muda, Nor Hafizah Abd Rahman (dua dari kanan) dan bapanya, Kalaichelvan (kanan).
RAMANA menunjukkan jagung bijirin kepada Pegawai Pertanian Daerah Kuala Muda, Nor Hafizah Abd Rahman (tiga dari kiri).
BENIH jagung bijirin yang digunakan.
KERJA menuai dilakukan di ladang milik Ramana.
RAMANA menunjukkan jagung bijirin yang ditanamnya.
RAMANA menunjukkan anugerah yang diterimanya.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Dia pernah menjadi juruterbang di Thailand. Apabila syarikat penerbangan itu menghadapi masalah, Ramana K Naidu, 26, pulang ke tanah air kerana mahu mencuba nasib menjadi juruterbang dengan dua syarikat tempatan.

Bagaimanapun, usaha itu tidak menampakkan sebarang ‘tanda’ selepas enam bulan memohon.

Sepanjang tempoh itu, Ramana resah dan cuba mencari jalan penyelesaian kerana tidak mahu mengganggur terlalu lama, apatah lagi ‘poketnya’ semakin hari semakin susut.

“Secara kebetulan saya menemui seorang rakan dan meminta pandangannya apakah pekerjaan yang sesuai dilakukan selepas tidak lagi bertugas sebagai juruterbang di Thailand.

“Saya pulang ke Malaysia kerana negara itu menghadapi konflik dan mengambil keputusan menetap di tanah air sendiri.

“Kawan saya kemudian mencadangkan saya mengambil alih kebun seorang warga asing yang mengusahakan tanaman kacang panjang yang hampir boleh dituai,” katanya ketika ditemui di ladangnya di Kampung Sungai Batu, Merbok, Kedah, baru-baru ini.

Menurutnya, tanaman lelaki warga asing itu hampir boleh dituai tetapi disebabkan masalah tertentu, dia perlu pulang ke negaranya dalam tempoh terdekat.

“Disebabkan itu, saya terus mengambil alih tanamannya dengan bayaran RM2,000 dan hasilnya saya menerima pulangan RM14,000 daripada keseluruhan kacang panjang yang dijual.

“Selepas memperoleh pendapatan lumayan hasil jualan sayur, saya mula buka mata dan melihat pertanian adalah perniagaan tetapi yang penting kena berusaha dan bersungguh-sungguh,” katanya.

Ramana kemudian menubuhkan syarikat Famox Agrotech Sdn Bhd untuk mengorak langkah dalam bidang pertanian selepas usahanya selama empat tahun sejak 2011 menemui kejayaan.

Beliau kini mengusahakan 81 hektar tanah pelbagai tanaman termasuk jagung bijirin, ubi kayu, timun, labu air, peria, kacang panjang dan sawi secara komersial.

“Saya sahut cabaran Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mahu lihat saya berjaya dalam tanaman jagung bijirin.

“Saya mahu buktikan kepada beliau saya akan berjaya suatu hari nanti. Projek perintis tanaman jagung bijirin sudah dituai beberapa minggu lalu. Hasilnya sangat memuaskan kerana tanaman ini berjaya dilaksanakan,” katanya.

Ramana berkata, dia terlintas menanam jagung bijirin kerana melihat kerajaan terpaksa mengimport bahan utama makanan ayam itu sebanyak empat juta tan metrik bernilai RM3.2 bilion setahun.

“Saya fikir daripada kita import, apa kata saya sendiri menanam jagung bijirin. Walaupun tak sebesar mana, sekurang-kurangnya dapat membantu kerajaan mengurangkan jumlah import.

“Tidak ramai mahu mengambil risiko menanam jagung bijirin kerana tanaman ini masih baru di Malaysia. Tetapi saya lihat usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) membawa masuk tanaman ini cukup tepat.

“Saya diminta menjadi perintis tanaman ini di Kedah dan sudah ke luar negara bagi melihat potensi serta mempelajari cara mengendalikannya,” katanya.

Menurutnya, banyak pihak membantu dan memberi dorongan seperti Pejabat Pertanian Daerah Kuala Muda selain bapanya, P Kalaichelvan, 53, yang memainkan peranan di belakang tabir kejayaan itu.

Anak kedua daripada tiga beradik itu pernah menerima dua penghargaan iaitu Malaysia Agro Excellent Award kategori P 1 Master Agro dan Anugerah Agropreneur Muda Jaya pada sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kedah (HPPNK) pada 26 Mei lalu.

Sementara itu, Ahmad Shabery yang membuat lawatan ke ladang Ramana, baru-baru ini berkata, jika petani mampu menghasilkan 30 peratus daripada jagung bijirin negara, ia mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM1 bilion.

Beliau berkata, antara negeri yang boleh dijadikan kawasan tanaman jagung bijirin ialah Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak kerana tanaman itu memerlukan tempat tidak basah dan tanah rata bagi memudahkan mesin menuai melakukan tuaian.

“Ia sumber protein yang tinggi untuk makanan ayam dan jika dapat dihasilkan dalam negara, bijirin ini lebih segar dan mampu mempercepatkan pembesaran ternakan.

“Selain bijirin, batang pokok itu juga boleh menghasilkan makanan untuk lembu dan teknik ini yang kita mahu pelajari,” katanya.

Mereka yang ingin menemui Ramana untuk berkongsi pengalaman boleh mengunjunginya di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2016 (MAHA 2016) sehingga 11 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 10:41 AM