LIOW (tengah) melihat replika pembinaan kapal moden.
REPLIKA ikan gergasi menarik pengunjung terutama kanak-kanak.
PAMERAN ikan di MAHA 2016.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Jabatan Perikanan (DOF) akan memperkenalkan garis panduan pembinaan vesel (bot) perikanan moden menjelang Januari depan.

Pengenalan garis panduan itu antara inisiatif dilakukan bagi memacu industri perikanan negara supaya kekal mapan.

Pemodenan vesel penangkapan ikan merangkumi 12 standard piawaian selaras dengan Kod Persatuan Maritim Antarabangsa dan Kesatuan Klasifikasi Masyarakat Antarabangsa (IACS).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ia juga keperluan untuk memenuhi keperluan syarat negara pengimport.

Beliau berkata, buat masa ini lima syarikat berminat menyertai program pemodenan vesel penangkapan ikan.

“Dasar kerajaan sedia ada mengutamakan konsep ‘private driven’ dalam pelaksanaan projek pembangunan model vesel. Di samping pelaburan pihak swasta, penyertaan koperasi juga amat digalakkan.

“Satu dana khas pusingan akan dikendalikan Agrobank, SME Bank dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan modenisasi perkapalan perikanan di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2016) di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS), baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek dan Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan.

Liow berkata, semua vesel penangkapan ikan perlu mendapatkan Sijil Layak Layar, antara syarat paling minimum yang diiktiraf Kementerian Pengangkutan.

Sementara itu, Ismail berkata, DOF menjangka dapat membangunkan industri perikanan tangkapan lebih moden yang memenuhi 12 standard piawaian bagi ciri keselamatan serta keselesaan pekerja.

“Kami mengganggarkan menjelang tahun 2050, semua bot pukat jerut dan pukat tunda zon C dan ke atas akan dibina mengikut garis panduan pembinaan vesel penangkapan ikan yang disediakan DOF.

“Program ini juga selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab pembina dan membaiki kapal yang terkandung dalam Program Transformasi Ekonomi.

“Kerajaan juga komited menyokong program ini melalui Projek Pembangunan Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) yang dijangka beroperasi pada tahun 2020,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, myDOF Valley antara tarikan utama MAHA 2016 yang menampilkan Kingdom of Sharks, Fisherman Fun House (Rumah Terbalik) dan Tuna In The House serta pameran spesies ikan terbesar dan spesies ikan termahal.

Menurutnya, sebagai contoh apabila berkunjung ke Kingdom of Sharks, mereka dapat menggambarkan keadaan seolah-olah berada di dalam lautan yang dikelilingi ikan yu.

“myDOF Valley adalah satu penjenamaan semula aktiviti sempena MAHA 2016 yang sebelum ini dikenali sebagai Laman Perikanan.

“Kami mengetengahkan pameran ikan terbesar seperti ikan kerapu kertang seberat 60 kilogram (kg), ikan temoleh seberat 18 kg di samping pameran ikan termahal seperti ikan empurau yang dianggarkan bernilai RM2,000 sekilogram serta ikan kelisa platinum.

“Bagi mereka yang ingin melihat dan merasai keenakan ikan berkenaan datanglah ke myDOF Valley kerana semuanya ada di sini,” katanya.

Beliau berkata, matlamat asal penganjuran myDOF Valley sempena MAHA 2016 untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada orang ramai mengenai industri perikanan secara keseluruhannya.

MAHA 2016 sedang berlangsung sehingga Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 10:30 AM