KELUARGA mangsa yang maut dalam kebakaran menangis di sebuah hospital di Karachi. - EPA

Karachi: Sebuah hotel empat bintang di sini terbakar menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh sementara 75 yang lain cedera, dengan tetamu yang terdesak melompat keluar dari tingkap dan menggunakan cadar yang diikat menjadi tali untuk menyelamatkan diri.

Kebakaran di Hotel Regent Plaza di pusat bandar pelabuhan itu tercetus ketika kebanyakan tetamu sedang tidur. Ketiadaan penggera kebakaran dan pintu kecemasan menyebabkan ramai yang terperangkap di dalam bilik masing-masing.

Dua pemain kriket antarabangsa Pakistan, Sohaib Maqsood dan Hammad Azam antara yang menginap di hotel berkenaan, namun tidak mengalami kecederaan serius.

“Hotel terbabit tidak mempunyai sistem keselamatan dan pintu kecemasan untuk memindahkan tetamu di dalamnya. Mereka juga tiada penggera kebakaran,” kata datuk bandar Karachi, Waseem Akhtar.

Sementara itu, tetamu hotel itu yang turut cedera dalam kebakaran, Saeed ur Rehman berkata: “Tetamu yang terperangkap terpaksa memberanikan diri menjadikan cadar sebagai tali dan turun seorang demi seorang. Ramai orang yang cedera.”

Menurut polis, kebakaran itu mengambil masa tiga jam untuk dikawal.

Doktor hospital Jinnah Karachi, Semi Jamali berkata: “Kami menerima 11 mayat, empat daripadanya wanita dan 75 orang yang cedera.”

Katanya, kebanyakan mangsa mengalami masalah pernafasan akibat terhidu banyak asap dan ada juga yang luka atau patah tulang ketika melompat dari hotel lapan tingkat itu untuk menyelamatkan diri.

Penguasa Kanan Polis, Saqib Memon mengesahkan jumlah kematian dan berkata, punca kejadian masih belum diketahui sehingga siasatan dilancarkan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 10:05 AM