POLIS menghalang penyokong Jayalalithaa yang berhimpun di luar hospital di mana pemimpin itu dirawat di Chennai, India. - Reuters

Chennai (India): Pihak berkuasa di selatan India semalam meletakkan polis dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbang berlaku rusuhan awam selepas ketua menteri Tamil Nadu kesayangan rakyatnya, bekas bintang filem terkenal Jayalalithaa Jayaram mengalami serangan jantung.

Doktor yang merawat Jayalalithaa, 68, - antara pemimpin paling popular negara itu - berkata, dia kini dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi.

Beratus-ratus penyokongnya berhimpun di luar hospital swasta Apollo di Chennai sejak dia dimasukkan ke sana pada September lalu akibat demam.

Rakaman televisyen semalam menunjukkan orang ramai mendoakan kesejahteraan Ketua Menteri yang dikenali sebagai ‘Amma’ (ibu) itu, dengan ramai dilihat menangis.

“Amma mesti terus hidup. Saya tidak keberatan jika nyawa saya diambil, tetapi Amma perlu terus hidup,” kata seorang penyokongnya.

Jayalalithaa yang seolah-olah dipuja penyokongnya seperti dewi tidak muncul di khalayak ramai sejak September lalu, tetapi jurucakap hospital tempatnya dirawat mengatakan kesihatannya semakin baik sebelum dia mengalami serangan jantung pada Ahad lalu.

Menurut agensi berita Press Trust of India, polis di seluruh negeri diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk mengekalkan ketenteraman dengan 1,000 anggota ditempatkan di hospital.

Sebelum ini beberapa penyokongnya pernah mencederakan diri apabila dia dipenjarakan pada 2014 atas tuduhan rasuah.

Jayalalithaa memperoleh kesetiaan daripada ramai pengundi di Tamil Nadu apabila melancarkan beberapa rancangan seperti ‘Amma kantin,’ yang menyediakan makan tengahari dengan harga kurang sesen.

Pada 2014, dia terpaksa meletak jawatan sementara sebagai ketua menteri selepas dipenjarakan atas tuduhan rasuah menyebabkan tercetusnya bantahan besar-besaran dengan ada beberapa penyokongnya dilaporkan membunuh diri.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 9:56 AM