NORDIN menunjukkan basikal polygon bernilai RM7,000 yang dimenanginya.

Johor Bahru: Walaupun sedih tidak dapat menyertai Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Sabtu lalu, Nordin Yusoff, 39, tersenyum lebar apabila memenangi hadiah cabutan bertuah.

Nordin yang tidak sihat hanya mampu menyaksikan perlumbaan 11 rakan sepasukannya iaitu Komplot Tiram Bikerz Ulu Tiram, namun tidak menyangka nasibnya cukup baik kerana berjaya membawa pulang hadiah utama cabutan bertuah sebuah basikal polygon bernilai RM7,000.

“Saya tidak menyangka nombor pendaftaran saya naik, nombor bertuah itu saya wakilkan kepada seorang ahli pasukan saya. Ketika nombor diumumkan saya sudah berada di luar UTM.

“Basikal yang saya menang ini ibarat pengganti kepada basikal saya yang rosak itu sudah berusia setahun,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Katanya, saat itu menjadi sejarah dan kenangan manis dalam hidupnya memandangkan sebelum ini dia memang tidak pernah memenangi hadiah cabutan bertuah sebesar itu.

“Memang menjadi sejarah kali ini, saya kembali menjejakkan kaki selepas 15 tahun selesai bergraduasi di UTM. Tuah saya kembali di sini, dapat hadiah istimewa.

“Perasaan saya amat gembira bercampur syukur apabila ahli pasukan memberitahu perkhabaran gembira ini dan saya tidak sabar mangayuhnya selepas keadaan kesihatan saya pulih,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik-Telekomunikasi itu.

Selain basikal jenis polygon, sebuah basikal Fatbike dan pelbagai hadiah lain turut menjadi milik pemenang yang terdiri daripada pengayuh bertuah yang menyertai HHMTB 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 8:15 AM