COSTA (tengah) ledak satu gol ketika menentang Citizens.

Manchester, England: Pengurus Chelsea, Antonio Conte memuji Diego Costa selepas penyerang itu memberikan sumbangan bermakna serta bersabar ketika kemenangan 3-1 pendahulu Liga Perdana itu di Manchester City.

Costa memadamkan gol sendiri Gary Cahill dan mencipta gol kedua Chelsea sumbangan Willian ketika anak buah Conte bangkit daripada ketinggalan kelmarin sebelum merekod kemenangan kelapan berturut-turut.

Malah, pemain kebangsaan Sepanyol itu bertindak sebagai pendamai ketika pergaduhan pada masa kecederaan yang mana dua pemain City, Sergio Aguero dan Fernandiho dibuang padang, menafikan reputasinya sebagai pemain panas baran.

“Diego membuktikan dia menggunakan keghairahannya dengan cara yang tepat dan saya amat gembira mengenainya,” kata Conte, pasukannya kini empat mata di depan City kendalian Pep Guardiola.

Costa seringkali bertelagah dengan pihak berkuasa bola sepak England sejak menyertai Chelsea dari Atletico Madrid pada 2014.

Prestasinya merudum musim lalu ketika usaha Chelsea mempertahankan kejuaraan berkubur, namun dia kini pendahulu bersama penjaring gol terbanyak Liga Perdana dengan 11 gol dan percaya dia mendapat faedah kerana bersabar.

“Saya mahu berada di padang dan saya mahu tenang serta bersabar,” ujar Costa.

Costa menyamakan kedudukan selepas sejam, mendada hantaran Cesc Fabregas sebelum merembat leret melepasi Claudio Bravo dan melorongkan bola kepada pemain gantian Willian yang menyumbat gol kedua Blues.

Eden Hazard memastikan kemenangan pada minit terakhir selepas menyambut hantaran Marcos Alonso.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 5:13 AM