WILLIAN (kanan) jaring gol kedua Chelsea. FOTO Reuters
AFP

Manchester: Diego Costa muncul wira ketika pendahulu Liga Perdana Chelsea bangkit untuk mencatat kemenangan 3-1 di Manchester City malam tadi dalam perlawanan yang menyaksikan Sergio Aguero dan Fernandinho dilayangkan kad merah.

Gol sendiri Gary Cahill memberikan pendahuluan buat City tetapi Costa menyamakan kedudukan sebelum dia menjana gerakan yang membolehkan pemain gantian Willian meledak gol kedua dan Eden Hazard melengkapkan malam gemilang Chelsea sekali gus meletakkan skuad kendalian Antonio Conte itu selesa dengan kelebihan empat mata di persada liga.

Kekecewaan City jelas kelihatan di hujung permainan dengan Aguero serta Fernandinho dikenakan kad merah selepas bintang Argentina itu mengasari David Luiz manakala pemain Brazil terbabit menolak Cesc Fabregas ke tepi papan iklan.

Ia adalah kali kedua Chelsea menang walaupun ketinggalan dan senario sama dilihat minggu lalu ketika mengatasi Tottenham Hotspur. Ia adalah kemenangan kelapan berturut-turut musim ini.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 6:25 AM