DAKI sejauh lima kilometer.
BENTUK kerja berpasukan.
BENTUK kerja berpasukan.
ERATKAN silaturahim.
ERATKAN silaturahim.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Permainan teka-teki untuk menamakan spesies flora unik dan jarang ditemui menguji pengetahuan peserta program ‘UFL 30th Anniversary Company Getaway’ untuk menyempurnakan tugasan diberikan.

Populariti Malaysia terkenal dengan kepelbagaian tumbuhan sebagai negara dengan hutan hujan tropika semestinya memberi cabaran kepada 40 kakitangan Universal Fitness & Leisure (UFL) yang menyertai program ini.

Selain menggalakkan kehidupan gaya hidup sihat dalam kalangan kakitangan, aturcara program turut mempromosikan ilmu kehidupan survival di dalam hutan.

Program yang diadakan di UbiPadi Leisure, Hulu Langat, Selangor pada 3 hingga 4 September lalu, bersempena sambutan ulang tahun UFL ke-30 sesama pekerja, sekali gus penghargaan kepada kumpulan tulang belakang syarikat.

Pengarah Urusannya, Datuk Radha Krishnan berkata, program ini bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan cergas dalam kalangan rakyat Malaysia dan ia seharusnya bermula dengan kakitangan syarikat sendiri.

“Selain meraikan ulang ke-30, UFL juga menganjurkan program ini untuk mengeratkan silaturahim antara kakitangan apabila ia sama-sama membabitkan pekerja peringkat atasan dan bawahan.

“Menerokai hutan dara, peserta perlu mendaki sejauh lima kilometer (km) untuk ke tapak perkhemahan tanpa sebarang masalah. Nyata, peserta seronok menyertai aktiviti ini.

“Sebagai pembekal barangan aktiviti lasak, UFL aktif menganjurkan kegiatan ‘outdoor’ seperti ‘Deuter Trail Run’, ‘The Deuter Camp & Hike’ serta ‘Suunto Community Run’ setiap bulan yang terbuka pada pekerja dan orang awam,” katanya.

Peserta, Ahnunthini Sivalingam, 38, tidak melepaskan peluang untuk menyertai program syarikat kerana meminati aktiviti lasak selain membentuk jati diri dalam kerja berpasukan.

“Ini bukan kali pertama saya menyertai aktiviti seperti ini kerana saya sememangnya aktif dalam program anjuran syarikat. Bagi memantapkan stamina sebagai persediaan melakukan aktiviti ‘outdoor’, saya menjalani latihan di gimnasium setiap minggu.

“Program ini sangat menarik kerana peserta didedahkan kepada pelbagai teknik ‘survival’ termasuk cara mendirikan khemah dan memancing secara tradisional.

“Kami juga diajar teknik memasak menggunakan buluh, membuat jerat, mengenali kesan tapak kaki binatang dan mengenal pasti sumber air.

“Aktiviti ‘tree treasure’ banyak memberi pengetahuan baharu kepada saya untuk mengenali pelbagai jenis pokok herba dan buah-buahan liar yang mempunyai pelbagai khasiat kepada manusia,” katanya.

Selain menganjurkan pelbagai program kecergasan, UFL juga mengadakan program derma darah dalam kalangan kakitangan untuk dihantar ke hospital kerajaan bagi memenuhi tanggungjawab sosial korporatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 5:02 AM