IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Hafizudin Mohd Safar
am@hmetro.com.my


Kangar: Pegawai farmasi maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan lori di Jalan Kangar-Alor Setar, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew, berkata arwah Nurul Wahidah Maulat Othman, 26, dipercayai dalam perjalanan dari Kangar ke Simpang Empat.

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa gagal dikawal, terbabas ke lorong bertentangan dan bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

"Mangsa dipercayai memandu bersendirian dan maut di tempat kejadian.

“Polis masih menyiasat lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya ketika dihubungi.

Katanya, jenazah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah untuk bedah siasat manakala pemandu dan kelidan lori mengalami hanya cedera.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2016 @ 10:52 PM