Fardy Bungga
am@hmetro.com.my


Kajang: Lelaki yang dipercayai kurang siuman ditahan polis selepas menikam jirannya di Taman Cheras Jaya, Cheras, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata kejadian pada 4.30 petang ini.

Katanya, hasil siasatan awal, difahamkan, mangsa lelaki berusia 31 tahun ketika itu sedang berbual dengan adiknya di luar rumah.

Bagaimanapun, katanya, suspek tiba-tiba muncul membawa pisau dalam keadaan marah dan berlaku pergelutan sebelum suspek menikam mangsa di dada.

"Suspek berusia 30-an, kemudiannya melarikan diri manakala mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) oleh ahli keluarga dan dilaporkan stabil di Zon Merah.

"Hasil laporan yang diterima, sepasukan polis pergi ke lokasi kejadian dan polis terpaksa melepaskan dua tembakan menggunakan pistol genjatan elektrik untuk menahan suspek yang agresif," katanya.

Othman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan suspek juga dirujuk kepada pakar sakit jiwa di Hospital Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2016 @ 8:45 PM