Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Jangan berdiam diri, selesaikan segera”.

Itu gesaan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) kepada Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) berhubung isu tunggakan gaji membabitkan pemainnya musim lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PFAM, Izham Ismail, pemain negeri berkenaan tidak dibayar gaji selama lima bulan bermula Julai sehingga November tahun ini.

“Kami menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), terutamanya PFA agar menangani secara serius isu ini sebelum kami mengambil langkah yang lebih agresif termasuk tindakan undang-undang. Lebih 10 pemain Perlis sudah merujuk dengan kami tentang masalah ini.

“Kami kecewa kerana sudah dua bulan PFAM cuba melakukan rundingan, namun tidak dilayan, tiada sebarang reaksi balas PFA. Pada masa yang sama kami turut mengemukakan afidavit kepada FAM berserta salinan kepada PFA dengan harapan Jawatankuasa Status Pemain FAM turut memainkan peranan menyelesaikan perkara ini,” katanya.

PFA beraksi di Liga Perdana musim lalu menamatkan saingan di kedudukan ke-11 dan pasukan yang pernah digeruni dalam kancah bola sepak domestik itu akan beraksi di Liga FAM musim depan.

Ditanya mengenai jumlah tunggakan gaji, Izham berkata, pihaknya tidak dapat memberikan jumlah yang tepat kerana tidak semua pemain tampil dan merujuk kepada PFAM.

“Apa yang dilakukan terhadap pemain Perlis ini sangat tidak profesional. Lebih mengecewakan kerana Presiden PFA Datuk Rozabil Abd Rahman adalah Naib Presiden FAM,” katanya.

Tambahnya, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada minggu lalu menegaskan mana-mana kelab yang membayar gaji lewat 30 hari boleh didenda dan diambil tindakan undang-undang.

“Namun, kes ini sudah membabitkan tunggakan lima bulan gaji. Sebarang tindakan terpulang kepada FAM sama ada mahu menggantung atau sebagainya. Namun, pada masa kami mengharapkan Jawatankuasa Status Pemain FAM dapat memberikan segera tarikh untuk kami membentangkan kes ini,” tambahnya.

Penaung PFAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman sosial Johor Southern Tigers turut menggesa PFAM untuk menjelaskan gaji yang tertunggak dengan kegagalan PFA itu menyebabkan ada yang terpaksa berhenti bermain bola sepak atau melakukan pekerjaan lain untuk menyara hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 7:12 AM