Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Wanita warga emas maut selepas dirempuh kereta ketika melintas jalan di Jalan Lintas Kepayan, dekat bangunan RTM, di sini, pagi ini.

Augusta Lojikim, 76, disahkan meninggal dunia oleh doktor Hospital Queen Elizabeth (HQE) di lokasi kejadian kira-kira 6 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata siasatan awal mendapati wanita itu dilanggar Perodua Viva yang dipandu lelaki 24 tahun dari arah Kepayan ke Menggatal.

"Pemandu kereta terbabit kemudian cuba menekan brek namun gagal lalu merempuh mangsa kerana jarak yang terlaku dekat.

"Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia manakala pemandu Perodua Viva tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2016 @ 11:20 AM