ROSBERG (kanan) memeluk Wolff ketika sidang akhbar sejurus selepas mengumumkan persaraan di Vienna.
AFP

Vienna: Nico Rosberg mengambil keputusan mengejut dengan mengumumkan persaraannya daripada Formula Satu hanya selepas lima hari memenangi gelaran juara dunia bersama Mercedes.

Pemandu Jerman berusia 31 tahun itu yang menewaskan rakan sepasukan Lewis Hamilton, adalah juara pertama yang bersara sejak Alain Prost melakukan perkara sama pada 1993.

Rosberg membuat pengumuman itu di Vienna menjelang majlis anugerah Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIA).

“Saya mengambil keputusan untuk menamatkan karier Formula Satu saya di sini,” kata Rosberg yang sah selaku juara dunia di Grand Prix Abu Dhabi selepas menduduki tempat kedua di belakang Hamilton.

Dia berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai perkara.

“Saya sudah mula memikirkannya Isnin lalu,” kata Rosberg. “Saya tidak mempunyai kekuatan untuk mengumumkannya ketika itu dan justeru, saya mengambil sedikit masa.

“Tetapi itulah keputusan saya. Langkah selepas ini ialah menjadi seorang bapa dan suami. Itulah yang saya utamakan ketika ini.”

Sementara itu, ketua pasukan Mercedes Toto Wolff berkata: “Bagi pasukan kami, ini adalah situasi yang langsung tidak dijangka tetapi pada masa sama, ia juga sesuatu yang menarik.”

Wolff bagaimanapun pantas memuji pencapaian Rosberg.

“Ini adalah keputusan berani yang diambil Nico dan ia adalah bukti kekuatan karektornya.

“Dia memilih untuk bersara di kemuncak karier, selaku juara dunia dan sudah mencapai impian zaman kanak-kanaknya.”

Wolff berkata, kesungguhan serta kekuatan Rosberg ketika bersaing melayakkan dirinya untuk dihormati oleh semua pemandu.

Dengan menjulang gelaran juara dunia, Rosberg berjaya menyamai pencapaian bapanya Keke yang turut bergelar juara pada 1982.

Rosberg memulakan kariernya bersama jentera go-kart pada usia enam tahun. Dia dan Hamilton mula bersaing pada 1997 dan menjadi rakan sepasukan pada 2000.

Pada 2002, dia menyertai perlumbaan Jerman Formula BMW dan muncul juara.

Rosberg menyertai F1 bersama pasukan Williams menerusi perlumbaan Siri Formula 3 Euro dan menjulang gelaran GP2 pada 2005.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2016 @ 5:08 AM