PERANTI boleh pakai semakin popular.
FUNGSI kesihatan antara kunci utama peranti boleh pakai.
TERDAPAT syarikat yang menawarkannya secara pakej dengan telefon pintar.
SAMSUNG Gear S
P EBBEe Wach
HUAWEI Talkband
IAOMIi Mi Ban
JAWBONE Up24
Oleh Afiq Hanif
afiq_hanif@mediaprima.com.my

Tahun 2014 semakin menghampiri penghujungnya dengan banyak rangkuman teknologi yang hangat di pasaran, namun peranti boleh pakai atau wearable mencuri tumpuan tahun ini dengan perlumbaan kebanyakan syarikat elektronik mengeluarkannya.

Sama ada gelang pintar atau jam tangan pintar, ia menjadi pemain utama dalam peranti boleh pakai yang mewarnai tahun 2014 tidak terkecuali di Malaysia.

Agensi penyelidik, Strategy Analytics menyenaraikan tiga pesaing dalam industri jam tangan pintar. Tidak hairan, Samsung, Pebble dan Sony berada dalam senarai teratas.

Ekosistem jam tangan pintar meningkat sehingga 250 peratus tahun ini dengan anggaran 700,000 unit dipasarkan.

Daripada angka terbabit, Samsung menguasai 71 peratus perkongsian pasaran diikuti Sony melalui jenama SmartWatch dan Pebble, masing-masing memperoleh 11 peratus.

Sudah pasti, persaingan jam tangan pintar akan berubah apabila Apple memasuki pasaran terbabit awal tahun depan dengan iWatch dan tidak ketinggalan gajet 'Made in China' yang sedia menunggu masa sesuai untuk meletuskan perang.

Teknologi pembuatan jam tangan kini menjangkau evolusi yang menjurus ke arah konsep digital apabila pengeluar jenama elektronik berlumba-lumba menghasilkan rekaan yang paling canggih dengan fungsi terhebat.

Revolusi jam tangan pintar sedia ada menyaksikan pengeluar mula menghasilkan jam tangan pintar yang mempunyai memori, beroperasi menggunakan pemprosesan dan paparan skrin lebih jelas untuk sesuatu aktiviti yang dilakukan.

Jam tangan pintar dan gelang pintar misalnya boleh menetapkan masa untuk mengayuh basikal selama sejam dan selepas beberapa minit, ingin melihat semula berapa lama anda sudah mengayuhnya atau jumlah kayuhan serta kalori yang berjaya dihapuskan.

Sehingga kini, jam tangan pintar boleh dikategorikan sebagai jam yang mempunyai pemprosesan khas, menyimpan memori dan paparan digital yang boleh dihubungkan ke peranti mudah alih lain bagi pemindahan data.

Jam tangan pintar bukan ancaman kepada jam konvensional, apatah lagi ciri utama seperti keupayaan ketahanan bateri langsung tidak mampu menyaingi jam konvensional yang lebih mudah dan tidak perlu dicas secara kerap.

Namun berdasarkan kisah lama sejarah jam di dunia, pengguna dan pengeluar jam boleh mengambil serius evolusi jam yang mengubah dunia.

Pada 1970-an, pembuat jam Switzerland hampir gulung tikar kerana memandang rendah kepentingan jam kuarza.

Seperti jam kuarza empat dekad lalu, peranti itu sedang dipandang ringan. Mengikut kajian syarikat perunding Deloitte, dua pertiga daripada eksekutif dalam industri jam Swiss mengatakan jam tangan pintar tidak menimbulkan ancaman.

Strategy Analytics meramalkan Apple Inc bakal menyaksikan pendapatan daripada jualan iWatch kira-kira RM7.1 bilion hingga RM17.8 bilion pada tahun pertama ia menjual peranti terbabit.

Jam tangan Swiss yang mewah begitu rendah dari sudut pandangan teknologi, ia tidak lagi perlu wujud.

Apabila jam tangan kuarza dengan kuasa bateri diperkenalkan pada 1970-an, ramai pengguna tidak lagi menggunakan jam tangan mekanikal yang teknologinya dianggap lebih berusia kerana kedua-dua pergerakan jarum jam menggunakan gear dan berliku-liku serta memanfaatkan tenaga daripada gerakan pergelangan tangan si pemakai.

Menurut Persekutuan Industri Jam Switzerland, kumpulan yang mewakili pengeluar jam, jumlah pekerja dalam industri jam Swiss menurun daripada 90,000 pada 1970 kepada hanya 30,000 pada 1984 dan jumlah syarikat juga menurun daripada 1,600 pada 1970 kepada 600 kini.

Satu daripada sebab terbesar ialah jam tangan kuarza lebih murah dan lebih boleh dipercayai, malah jam tangan mekanikal yang paling mahal akan kehilangan beberapa saat seminggu dan memerlukan penyelenggaraan setiap beberapa tahun yang kosnya mungkin lebih tinggi daripada harga dua iPhone baru.

Menurut satu lagi agensi penyelidik produk elektronik, NextMarket Insights, antara faktor yang memberi impak kepada populariti jam tangan pintar termasuk kemajuan dalam teknologi pemprosesan, skrin dan penggunaannya dalam segmen kecergasan serta kanak-kanak.

Menurut Ketua Analisis, Michael Wolf, faktor terbabit bakal menjadikan 373 juta jam tangan pintar bakal dihasilkan pada 2020 berbanding 15 juta, enam tahun sebelumnya.

"Industri jam secara keseluruhannya memasarkan lebih satu bilion jam setahun manakala lebih tujuh pengguna pelanggan mudah alih berada di dunia," kata Wolf.

Menurut Wolf, agensi penyelidik yakin pertumbuhan jam tangan pintar bakal berlaku pantas dengan peluang yang bertambah.

"Pelbagai syarikat elektronik dan pengaruh syarikat China bakal memberi kesan kepada pengeluaran jam tangan pintar terutama yang menggunakan sistem operasi berasaskan Android," katanya.

Wolf berkata, antara faktor penting dalam menghasilkan jam tangan pintar termasuk fungsi menerima panggilan dan keupayaan data.

"Tiga platform utama yang mengoperasikan jam tangan pintar pula termasuk Android, Pebble OS dan iOS," katanya.

- Senarai peranti boleh pakai popular tahun ini:

1. Samsung Gear S

2. Fitbit Charge

3. Sony SmartWatch 2

4. Pebble Watch

5. Huawei Talkband

6. LG G Watch R

7. Xiaomi Mi Band

8. Jawbone Up24

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 5:04 AM