POLIS mengawal ketat dua suspek (baju kuning) yang ditahan kerana disyaki cuba melancarkan serangan bom berhampiran kedutaan AS di Manila. - AP

Manila: Polis Filipina menahan dua lelaki kerana disyaki cuba melancarkan serangan bom berhampiran kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini baru-baru ini, kata pegawai semalam.

Ketua Polis Manila, Oscar Albayalde berkata, pihaknya masih memburu beberapa lagi suspek susulan penemuan sebutir bom di dalam tong sampah berhampiran kedutaan AS pada Isnin lalu.

“Dua suspek ini ditahan kerana disyaki meletakkan bom buatan sendiri di lokasi itu.

“Kemungkinan besar suspek dan serangan itu didalangi kumpulan militan Maute,” katanya.

Menurutnya, seorang lelaki ditahan di wilayah Bulacan dan seorang lagi ditahan di sebuah kawasan perumahan penduduk di Manila.

“Kami kini memburu tiga hingga lima lagi suspek,” jelasnya.

Tiga anggota Maute ditangkap pada bulan lalu kerana disyaki melancarkan serangan bom di Davao pada September lalu yang menyebabkan 15 orang maut.

Kumpulan itu juga dituduh melancarkan serangan bom di Mindanao pada Selasa lalu yang menyebabkan tujuh pengawal keselamatan Presiden Rodrigo Duterte dan dua askar cedera.

Tentera kelmarin berjaya menawan semula bandar Butig di selatan Mindanao yang sebahagiannya dikuasai militan Maute selama beberapa hari. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 8:07 AM