Rock Bro! kini boleh didapati dalam bentuk DVD. FOTO MKC
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Filem Rock Bro! terbitan Grand Brilliance dan Enjit Semut Sdn Bhd mencatat kutipan RM5.4 juta selepas lima minggu ditayangkan di seluruh pawagam tanah air dan Brunei yang berakhir semalam.

Filem arahan Mamat Khalid ini turut menerima sambutan daripada 420,000 penonton sepanjang ia ditayangkan di kedua-dua negara.

Mamat berkata, kutipan memberangsangkan itu dapat dicapai disebabkan ia kesinambungan terakhir daripada dua naskhah terdahulu iaitu Rock (2005) dan Rock Oo! (2013).

"Ini adalah episod terakhir dan semua peminat trilogi ini ingin tahu mengenai kesudahan kumpulan Rimba Bara kerana selepas ini tiada lagi kisah mengenai mereka.

"Ia juga bukti filem ini memang menjadi penantian peminat setia yang mengikuti dua siri terdahulu sebelum ini," katanya.

Walaupun tempoh tayangan sudah berakhir semalam, filem ini membuka panggung di Singapura bermula hari ini. Menariknya juga, Rock Bro! kini dijual dalam bentuk DVD.

Filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Soffi Jikan, Datuk Hattan, Amy Juliet dan ramai lagi.

Sebelumnya filem ini berjaya mengutip RM4 juta dalam tempoh 10 hari tayangan.

Untuk rekod filem Rock mencatat kutipan RM1 juta sementara Rock Oo! berjaya meraih kutipan RM3.8 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 9:54 PM