Ayda beri peringatan. FOTO HM
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pelakon Ayda Jebat mengingatkan artis baru agar jangan mencipta populariti mudah menerusi kontroversi murahan di media sosial atau mana-mana medium yang ada.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 24, berkata, dia tidak mahu masyarakat menilai mereka berdasarkan publisiti sedemikian rupa.

"Sebelum berada di tahap sekarang, saya bermula dari bawah. Dengan bayaran hanya ratusan ringgit saya mendaki perlahan-lahan sehingga mencecah empat angka.

"Sebab itulah saya cakap populariti menerusi kontroversi tidak akan bertahan lama.

"Memang mereka akan dikenali di Twitter dan jadi trending sehari dua tetapi selepas itu peminat akan melabel mereka dengan macam-macam gelaran tanpa tahu apa karya yang dibintanginya.

"Saya berharap mereka mengelak perkara ini. Biasalah, dalam industri akan ada individu yang akan mendekati kita untuk ajak makan sebagai cara menawarkan peluang berlakon. Nasihat saya, jangan percayakan mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Pelakon drama Rindu Awak 200% dan Awak Sangat Nakal ini mengakui pernah berdepan situasi itu tetapi berjaya mengelak.

"Saya pernah melaluinya lima tahun lalu. Sekiranya mahu cepat popular, saya boleh pilih cara ini.

"Syukur, saya dikelilingi mereka yang selalu menasihati saya jangan buat perkara tidak elok. Saya sendiri pun pandai berfikir untuk menolak.

"Saya takut apabila individu ini sanggup menghantar orang upahan untuk ambil saya di lokasi penggambaran. Ketika itu saya rela tunggu di set dan berpakat dengan pengarah kononnya babak saya belum selesai.

“Bagi saya orang begini hanya pandai menabur janji palsu,” katanya pada pelancaran single terbarunya berjudul Nakal! Nakal! Nakal! dan Pencuri Hati versi dangdut.

Sementara itu, pada majlis sama Ayda turut memaklumkan dirinya mendapat tajaan biasiswa melanjutkan pengajian di KDU University College Utropolis Glenmarie.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 8:34 PM