BAHAN kimia ditemui dalam parit di Dusun Nyior, Sikamat.
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


Seremban: Pencemaran bau di Sungai Linggi yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi, Port Dickson kerap ditutup sepanjang bulan ini dikenal pasti berpunca pembuangan sisa bahan kimia dalam parit di Dusun Nyior, Sikamat, di sini.

Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat SAINS, Norzita Ismail berkata, ia bahan kimia dipercayai milik industri yang ditemui pada 13 dan 18 November serta hari ini sekali gus merungkai punca sebenar pencemaran bau.

Beliau berkata, justeru, SAINS dan Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSANS) sudah mengambil tindakan undang-undang termasuk membuat laporan polis mengenai perkara ini.

"Tindakan ini tidak sepatutnya berlaku kerana sungai berkenaan menjadi sumber air mentah utama sebelum dirawat dan diagihkan kepada penduduk di negeri ini.

"LRA kerap ditutup sejak bulan ini selepas SAINS menerima aduan penduduk bahawa air disalurkan ke rumah masing-masing berbau. Berdasarkan aduan itu, SAINS dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Alam Sekitar menjalankan siasatan mengenalpasti punca pencemaran bau," katanya.

Norzita berkata, disebabkan itu juga, SAINS terpaksa menutup sementara LRA sebelum dibuka semula hari ini selepas puncanya diketahui.

"Malah, pengguna tidak perlu risau kerana bekalan air dibekalkan selamat dan mematuhi piawaian air minuman kebangsaan mengikut standard Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Justeru, pengguna mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes pencemaran boleh menghubungi talian bebas tol SAINS 1-800-88-6982 dengan pemberi maklumat dirahsiakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 6:41 PM