Jenazah Syed Redzuan kini berada di Hospital Tehran, Iran. - Foto Ihsan ROZAIMI MD SAID
Suraya Roslan
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Jenazah Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, akan diterbangkan ke Malaysia dalam masa tiga atau empat hari lagi.

Ketua Ekspedisi Rozaimi Md Said berkata, jenazah kini berada di Hospital Tehran, Iran, selepas melalui beberapa proses pelepasan daripada Hospital Daerah Amol.

"Ini termasuk proses mendapat kebenaran hakim untuk memindahkan jenazah ke luar kawasan.

"Buat masa ini, kita masih menunggu beberapa proses perlu di jalankan di Hospital Tehran," katanya.

Rozaimi berkata, pihaknya menjangka jenazah akan dibawa pulang ke Malaysia tiga atau empat hari lagi.

"Operasi SAR mencari Ramli Abd Majid (seorang lagi pendaki Malaysia) kini ditangguhkan kerana faktor cuaca dan satu mesyuarat akan diadakan esok bersama pasukan SAR, kedutaan serta keluarga," katanya.

Ditanya adakah operasi SAR akan dihentikan, Rozaimi menafikan hal berkenaan dan mengesahkan operasi akan memfokus sebelah utara melalui Takht-e-Fereydoun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 5:20 PM