SALAH satu karya yang ditampilkan dalam pameran ‘The Crow’ yang sedang berlangsung sehingga 8 Disember 2016.
YIN WAN mengambil masa sembilan bulan menyiapkan kesemua karya secara sepenuh masa.
KARYA Yin Wan menggabungkan motif ukiran dan cat minyak di atas papan.
HUG Yin Wan
Nor Hanisah Kamaruzaman
am@hmetro.com.my

Penuh emosi dan tanda tanya saat menghayati setiap kerja tangan artis muda Hug Yin Wan, 22, yang ditampilkan dalam pameran berjudul ‘The Crow’.

Hasil seni mengetengahkan figura burung gagak dan tangan manusia sebagai fokus utama dalam setiap karya itu halus dan penuh artisitk.

Lebih menarik, karya yang dihasilkan dengan penuh teliti itu menggabungkan ukiran kayu dan cat minyak di atas papan lapis.

Artis muda yang berasal dari Perak ini berkata, koleksi pameran solo pertamanya itu menggambarkan kisah dan pengalaman yang dekat dengan dirinya.

“Pernah melalui pengalaman getir iaitu hampir menemui ajal, saya mula berfikir dan sedar semua perkara dalam dunia ini tidak kekal,” katanya.

Yin Wan berkata, hasil seni yang disiapkan dalam masa tiga bulan itu turut mengetengahkan unsur dualiti dan keseimbangan dalam setiap perkara dalam kehidupan.

“Selain menekankan mesej tiada yang kekal dalam dunia ini, saya turut selitkan unsur dualiti dalam kehidupan kerana setiap perkara dalam kehidupan mempunyai dua sisi berbeza seperti hidup dan mati, baik dan buruk serta positif dan negatif.

“Apabila sedar kewujudan dua sisi kehidupan itu, saya mula belajar untuk melihat, memahami dan menerima setiap perkara yang berlaku mempunyai dua sisi,” katanya.

Artis muda lulusan Diploma Seni Halus dari Dasein Academy of Art itu menambah, burung gagak dan tangan manusia yang menjadi elemen utama dalam setiap karya mempunyai maksud tersendiri.

“Mengikut kepercayaan orang Cina, burung gagak petanda buruk, jadi saya gambarkan burung itu sebagai simbol kematian atau perkara buruk manakala tangan manusia pula melambangkan emosi serta permulaan dan pengakhiran kehidupan,” katanya.

Yin Wan yang menghasilkan karya secara sepenuh masa turut melahirkan keterujaan kerana pameran ‘The Crow’ adalah pameran solo selepas mendapat tempat pertama dalam Inisiatif Seni Nando‘s 2015 bagi kategori seni halus.

“Saya berterima kasih kepada Nando‘s kerana memberi peluang mengadakan pameran solo selain membantu saya membuka mata dan lebih terdedah dengan arena seni tanah air.

“Selain berpeluang memperkenalkan karya seni kepada penonton dan penggemar seni, saya juga berkesempatan berhubung dengan artis serta galeri tempatan.

“Saya sarankan generasi muda di luar sana berani menyertai pertandingan seperti Inisiatif Seni Nando’s supaya bakat sedia ada dapat dikembangkan,” katanya.

INFO

• Nama: Hug Yin Wan

• Umur: 22 tahun

• Pendidikan: Diploma Seni Halus dari Dasein Academy of Art

• Instagram: @yin2wan

• Pameran solo: The Crow

• Lokasi: Lot 123, Balai Seni Nando‘s, Jalan Sultan (Chinatown) Kuala Lumpur

• Tarikh: 25 November sehingga 8 Disember 2016

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 10:10 AM