AKSI pemain hoki negara, Haziq Shamsul (kanan) pada kejohanan Hoki Remaja Asia tahun lalu.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengambil keputusan untuk menerima tawaran Persekutuan Hoki Dunia (FIH) menghantar pasukan remaja negara beraksi pada Piala Dunia Remaja di India dari 8 hingga 18 Disember ini.

FIH menarik semula penyertaan Pakistan yang layak secara merit kerana gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan badan induk itu.

Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal berkata, meskipun tawaran itu hadir agak lewat, namun pihaknya berpendapat ia peluang terbaik yang tidak boleh dilepaskan begitu saja.

“MHC dimaklumkan oleh FIH hari ini (semalam) untuk menyertai Piala Dunia Remaja di Lucknow. Menurut FIH, Malaysia pasukan terbaik yang layak untuk dijemput ke saingan Piala Dunia Remaja di India.

“Perkara ini sudah dibincangkan dengan ahli Lembaga Eksekutif hari ini dan mereka bersetuju untuk menyertai saingan itu selepas mengambil kira nasihat Datuk Ow Soon Kooi (Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan) dan Terry Walsh (Pengarah Teknikal).

“Pasukan remaja akan mengambil bahagian pada kejohanan ini. Ia satu pengalaman dan pendedahan yang baik kepada pemain,” katanya.

Subahan turut menegaskan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan kedua-duanya memberikan lampu hijau.

FIH dalam kenyataanya semalam kesal kerana Pakistan tidak dapat mengambil bahagian walaupun mereka layak secara merit.

Skuad remaja negara gagal melayakkan diri secara merit selepas menduduki tempat kelima pada Piala Remaja Asia di Kuantan tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 8:16 AM