CAVANI (kanan) sudah menjaringkan 18 gol dalam 17 perlawanan.
AFP

Paris: Edinson Cavani sedang meniti tempoh paling cemerlang dalam kariernya di Liga Perancis dan memburu jaringan ke-100 bersama Paris Saint-Germain apabila juara bertahan itu melayan kunjungan Angers, awal pagi esok.

Penyerang Uruguay itu menjaringkan kedua-dua gol ketika PSG menang 2-1 di Lyon, Ahad lalu dan mengumpul 99 jaringan bersama kelab yang disertainya dari Napoli pada 2013.

Walaupun pernah diselar kerana sering melepaskan peluang menjaringkan gol, Cavani dilihat lebih menyerlah sejak ketiadaan Zlatan Ibrahimovic dan setakat ini dia sudah meledak 18 gol sepanjang 17 perlawanan musim ini.

Jumlah itu meletakkan dirinya di tangga keempat senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman buat kelab, satu gol di belakang Dominique Rocheteau dan dua gol di belakang Pedro Pauleta serta Ibrahimovic.

“Dia penjaring kami. Kami hanya perlu memberikan dia keyakinan untuk melaksanakan tugasnya dan dia sentiasa berusaha keras buat pasukan,” kata jurulatih Unai Emery.

PSG akan melayan kunjungan Angers di Parc des Princes dalam usaha melebarkan catatan kemenangan kepada 11 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan sekali gus mengukuhkan cabaran menguasai tangga teratas liga.

Angel di Maria boleh diturunkan apabila disahkan sembuh daripada kecederaan manakala Javier Pastore turut boleh bermain tetapi Layvin Kurzawa serta Adrien Rabiot masih lagi cedera. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 7:47 AM