Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my


Ipoh: Bayi perempuan berusia 11 bulan cedera di beberapa anggota badan termasuk kepala dipercayai didera oleh pengasuhnya di pusat jagaan kanak-kanak di Pantai Remis, Manjung dekat sini.

Kejadian dilaporkan berlaku pada Sabtu lalu dan susulan itu seorang wanita berusia 48 tahun yang juga pengasuh diberkas semalam bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Gan Tian Kee berkata, ibu saudara mangsa berusia 25 tahun membawa bayi berkenaan ke Hospital Manjung sebaik menyedari bayi berkenaan dalam keadaan lemah serta mengalami kesan lebam dan beberapa kecederaan di bahagian kepala dan badan.

"Ibu saudara mangsa yang juga guru tadika dapati mangsa dalam keadaan tidak bermaya semasa ambil di rumah pengasuh dan ketika berada di rumah mangsa muntah sebelum pemeriksaan dapati kesan bengkak di belakang kepala, calar pada bahu kanan, merah-merah dan bengkak di sekitar belakang telinga sebelah kiri.

"Pemeriksaan doktor kemudiannya mendapati bayi berkenaan cedera dipercayai akibat didera dan susulan itu ibu saudara mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya ketika ditemui pada majlis Sambutan Deepavali peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Polis (IPK) Perak di sini malam ini.

Menurutnya, bertindak atas laporan itu, polis menahan seorang wanita berusia 48 tahun di rumahya di Taman Seri Samudera, Seri Manjung, dekat sini semalam sebelum direman tiga hari hingga Rabu ini bagi membantu siasatan.

"Keadaan bayi itu dilaporkan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 11:16 PM