Kapal persiaran Super Star Gemini. FOTO ihsan APMM
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my

Melaka: Pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan penumpang lelaki kapal persiaran Super Star Gemini yang hilang selepas terjatuh ke luat ketika kapal itu melalui perairan Selat Melaka di kedudukan 9.5 batu nautika dari Pulau Batu Besar di Perairan Tanjung Kling, 11. 05 malam, Ahad lalu.

Pengarah Daerah Maritim 5 (DM5) Kuala Linggi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kapten Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, ketika kejadian kapal terbabit dalam pelayaran dari Singapura ke Pelabuhan Georgetown, Pulau Pinang.

Mangsa Wah Poh Fatt, 60, yang juga warga Singapura disedari hilang oleh rakan yang turut mengikuti pelayaran itu pada 9.20 malam semalam, ketika kapal berkenaan menghampiri Pelabuhan Georgetown.

"Usaha mengesan mangsa dalam kabinnya gagal, berikutan itu kru kapal meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mengesan kelibat orang jatuh ke laut, ketika berada di perairan negeri ini.

"Kapten kapal kemudian menghubungi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Wilayah Maritim Selatan, Johor Bahru dan Maritime Rescue Command Centre (MRCC) Putrajaya, bagi memaklumkan kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, operasi SAR turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurutnya, sehingga jam 5 petang tadi mangsa belum ditemui dan operasi SAR diteruskan sehingga pihaknya menerima arahan selanjutnya daripada Ibu Pejabat APMM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 9:58 PM