HAKIM
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my

Tidak mahu ketinggalan dalam mewarnai industri seni muzik tanah air, pendatang baru, Hakim, 15, tampil dengan single berjudul Kau Mampu.

Pernah menyertai beberapa pertandingan realiti nyanyian, pemilik nama penuh, Muhammad Al Hakim Khan Farrukh Hadi itu menggunakan khidmat bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim ketiga, Aidil Zamri sebagai penggubah lagunya.

Selesa dengan muzik berkonsep rancak, Hakim yang bersekolah di Gombak, Selangor berharap pertaruhannya terhadap lagu berkenaan membuka jalan dalam bidang nyanyian.

“Saya minat menyanyi ketika masih kecil dan waktu itu baru berusia tiga tahun. Kata ayah, setiap kali mendengar muzik atau lagu saya akan ligat menari dan menyanyi.

“Sehinggalah sekarang boleh dikatakan saya cepat menghafal setiap lirik daripada lagu yang dipersembahkan. Mungkin minat sejak kecil itu membuatkan saya cepat hafal dan faham apa juga lagu yang saya dengar.

“Tidak hanya bahasa Melayu, saya juga boleh menyanyikan lagu dalam pelbagai bahasa seperti Hindustan, Korea dan Inggeris semestinya kerana saya begitu meminati Justin Bieber,” katanya.

Mempunyai ibu bapa daripada latar belakang yang bukan calang-calang, Hakim mengganggap itu rezekinya, namun, bukan bermakna dia hendak menjadi penyanyi semata-mata.

Sebaliknya dia memiliki sasaran untuk bergelar penyanyi yang berjaya satu hari nanti. Namun, bersyukur mempunyai ibu bapa yang sangat menyokong minatnya pada bidang nyanyian.

“Ibu dan ayah adalah orang terpenting yang banyak merencanakan perjalanan seni saya sejak kecil. Banyak kelas muzik dan nyanyian saya ikuti untuk mengasah bakat dan memantapkan persembahan.

“Insya-Allah, saya berharap satu hari nanti dapat menjadi artis yang serba boleh. Di samping itu, saya dan ayah memiliki perancangan untuk mencuba pasaran Bollywood.

“Saya berharap peluang itu dipermudahkan kerana saya sedar bukan mudah untuk artis baru mencipta nama di negara orang. Tetapi saya yakin dengan setiap percaturan itu jika kena caranya pasti akan mendapat kejayaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 9:50 AM