GAMBAR fail menunjukkan pengawal sempadan Bangladesh meronda Sungai Naf untuk menghalang kemasukan orang Rohingya di Teknaf. - AFP
Agensi

Naypyidaw: Pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi semalam menunda lawatannya ke Indonesia susulan protes besar-besaran di negara itu atas penindasan terhadap orang Rohingya dan perancangan menyerang kedutaannya di Jakarta.

Penerima anugerah keamanan Nobel itu semakin dikritik masyarakat antarabangsa kerana gagal mengekang apa yang didakwa pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu sebagai pembersihan kaum di negaranya.

Tuduhan PBB itu dinafikan kerajaan Suu Kyi sebaliknya mereka mendakwa tentera memburu ‘pengganas’ yang menyerang pos kawalan polis di Myanmar, bulan lalu.

Penyiasat bebas dan wartawan asing dihalang melaporkan apa yang sebenarnya berlaku di utara Rakhine yang bersempadan Bangladesh.

Minggu lalu, ratusan penunjuk perasaan mengadakan bantahan di Jakarta menggesa kerajaan memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar.

Kelmarin, polis Indonesia menahan anggota kumpulan berkait dengan Daish yang merancang pengeboman kedutaan Myanmar di Jakarta.

Suu Kyi dijadualkan melawat Indonesia selepas Singapura, esok, tetapi menunda perancangannya.

Jurucakapnya bagaimanapun menafikan keputusan itu mempunyai kaitan dengan isu keselamatan.

Sementara itu, bekas Setiausaha Agung PBB Kofi Annan dilaporkan akan melawat negeri Rakhine minggu ini dalam usaha mencari penyelesaian isu membabitkan Rohingya itu.

Anggota suruhanjaya dan pengerusi Pusat Islam Myanmar Aye Lwin memberitahu agensi berita Turki, Anadolu bahawa Annan akan tiba di Myanmar dalam beberapa hari lagi.

“Dia akan melawat ibu negara, Naypyidaw dan Rakhine,” katanya yang juga pengasas organisasi Religions for Peace.

Sejak serangan di pos kawalan polis pada 9 Oktober lalu, sekurang-kurangnya 86 orang, termasuk 17 askar dan 69 yang didakwa penyerang dilaporkan terbunuh. Kumpulan Rohingya bagaimanapun mendakwa 400 golongan itu maut akibat kekejaman tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 7:51 AM