AIR naik separas lutut di Pulau Kambing. FOTOihsan pembaca
KESESAKAN di Pulau Warisan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
ORANG ramai berkumpul di Pasar Besar Kedai Payang yang dinaiki air akibat fenomena air pasang besar. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
AIR naik separas lutut di Pulau Kambing. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Beberapa lokasi berhampiran pantai dan Sungai Terengganu di daerah ini menjadi tumpuan orang ramai yang ingin menyaksikan sendiri fenomena air pasang besar.

Ia termasuk Pantai Batu Buruk, Pulau Warisan, Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) dan Jambatan Sultan Mahmud, di sini mula dibanjiri orang ramai sejak 9 malam sehingga berlaku kesesakan.

Kebanyakan mereka tidak menghiraukan cuaca hujan serta angin kuat di kawasan berkenaan.

Malah, di Pantai Batu Buruk, polis turut mengawal lalu lintas bagi menghalang orang ramai mendekati kawasan berkenaan.

Seorang peniaga makanan ringan, Zaini Khalid, 38, berkata, dia dan enam rakannya tertarik untuk datang ke Pulau Warisan bagi melihat sendiri fenomena air pasang besar selepas berita mengenai itu tersebar di laman sosial.

"Saya ada baca pasal air pasang ini, jadi saya dan rakan lain berpakat untuk berkumpul tetapi hanya tengok dari jauh saja kerana bimbang keselamatan," katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati peniaga di PBKP sibuk menyelamatkan barangan niaga mereka ke tempat tinggi bagi mengelak rosak akibat banjir selain ada antara penduduk Pulau Duyong di sini, mula meletakkan kenderaan di bahu jalan sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, di Pulau Kambing, di sini, fenomena air pasang besar menyebabkan kenaikan air sehingga ke paras lutut sejak jam 10 malam tadi.

Kawasan rekreasi ini tidak putus-putus dikunjungi orang ramai yang turut bermain air terutama kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 11:51 PM