Ramli Mamat, 64, (gambar kecil) terbunuh selepas motosikalnya terbabit dalam kemalangan dekat RKT Kesedar Renok.
Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my


Gua Musang: Seorang peneroka maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan di Kilometer 12 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat RKT Kesedar Renok di sini, hari ini.

Ramli Mamat, 64, berasal dari RKT Kesedar Renok Baru, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, kemalangan kira-kira 8 pagi itu dipercayai berlaku apabila motosikal Honda EX5 ditunggang mangsa yang keluar dari simpang, berlanggar dengan MPV jenis Toyata Vellfire yang datang dari arah Gua Musang menghala Kuala Krai.

"MPV dipandu lelaki berusia 53 tahun terbabas melanggar dua tiang elektrik serta kereta Proton Wira yang diletak di depan kedai di bahu jalan ketika cuba mengelak daripada merempuh motosikal mangsa.

"Mangsa terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu MPV dan dua anaknya tidak cedera," katanya di sini, hari ini.

Rajab Ahad berkata, hanya isteri pemandu MPV itu yang berusia 51 tahun cedera di lengan kiri dan dirawat di Hospital Gua Musang di sini.

Katanya, mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.,

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 3:35 PM