Dua daripada suspek yang berjaya ditahan semalam. - Foto Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Alor Setar: Polis mengesahkan lima lelaki yang ditahan di Sungai Petani semalam, dikenali Geng Suria dan penjenayah tegar dalam kes pecah rumah di kawasan utara.

Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff berkata, suspek berusia 20-an hingga 30-an itu berasal dari Sungai Petani, bukan saja memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah, pecah rumah dan samun, malah kes bunuh.

Menurutnya, seorang suspek memiliki 17 rekod jenayah lampau membabitkan dadah, pecah rumah, curi kenderaan dan samun.

"Seorang lagi suspek memiliki tujuh rekod jenayah Kanun Keseksaan iaitu bunuh pada 2002, samun dan dadah selain memiliki rekod lapan kes pecah rumah.

"Semakan juga mendapati kereta Proton Waja yang digunakan suspek ialah kereta curi yang dilaporkan hilang di Kepala Batas, Pulau Pinang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Menurut Asri, dua suspek yang tercedera selepas ditembak anggota polis ketika seorang suspek cuba menyerang polis dengan parang, kini stabil di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Semalam, anggota unit peronda polis (MPV) terpaksa melepaskan tembakan apabila seorang lelaki menyerang mereka dengan parang berhampiran Sekolah Menengah Dato Bijaya Setia, di Batu 2, Jalan Kuala Ketil di sini.

Dalam kejadian 9.40 pagi itu, polis mengejar kereta Proton Waja dinaiki mereka selama lebih 20 minit sebelum kereta itu terbabas merempuh tiang elektrik. Lelaki berkenaan serta tiga rakannya dalam kereta itu berjaya ditahan dan polis kemudian menahan seorang lagi di Taman Seri Angsana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 2:58 PM