Mohd Ridwan (dua dari kiri) dan Zulfadli Jafri (tiga dari kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kangar. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


Kangar: Dua lelaki dihadapkan secara berasingan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bagi menghadapi pertuduhan cuba melakukan aktiviti keganasan di Syria awal bulan ini.

Zulfadhli Jafri, 24, dari Miri, Sarawak, yang bekerja sebagai pembantu jurukimpal dan Mohd Ridwan Mohd Musa, 29 dari Tangkak, Johor, seorang juruteknik kilang, dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar pada 10 pagi dengan dikawal ketat anggota polis.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh selepas kertas dibacakan di depan Majistret Mohd Azhar Hamzah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Zulfadhli dan Mohd Ridwan cuba ke Syria melalui Kompleks Imigresen Padang Besar pada 2.46 petang, 23 Oktober lalu, dengan menaiki kereta api di Stesen Kereta Api Padang Besar menuju Bangkok, Thailand.

Mereka kemudian menaiki dua pesawat Gulf Air (penerbangan GF153 dan GF045) menuju Turki sebelum ditahan pihak berkuasa negara itu sebaik tiba di Turki.

Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Azhar menetapkan 5 Januari depan untuk sebutan semula kes yang akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya dari Putrajaya Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 1:48 PM