SEBAHAGIAN sukarelawan berpeluang memahami cara hidup penduduk tempatan dengan pelbagai aktiviti seperti membina jalan.
Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

Menyedari pentingnya kesukarelawanan, pelajar Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) Muhammad Salman Mohammad Hassan menyertai khidmat masyarakat menerusi Misi Sukarelawan Siswa ke Vietnam, baru-baru ini.

Program kesukarelawanan itu anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), sebuah organisasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi bertujuan memberi pendedahan terhadap pengukuhan pembinaan nilai sahsiah tinggi pelajar menerusi aktiviti kemanusiaan.

‘Green Summer Volunteer Campaign Vietnam 2016’ itu disertai 50 sukarelawan pelajar.

Muhammad Salman berkata, dia memperoleh pelbagai pengalaman baru ketika berdamping dengan pelbagai lapisan masyarakat berlainan budaya dan cara hidup itu.

“Antara pengalaman manis ialah apababila kami menjalankan misi khidmat komuniti untuk membantu masyarakat di sana.

“Pelbagai ilmu baru diperoleh menjadikan program berkenaan platform terbaik untuk membentuk pengukuhan jati diri generasi muda,” katanya.

Program itu sebahagian usaha memberi pendedahan dan latihan kepada pemimpin sukarelawan bagi memupuk sikap kepemimpinan bertaraf global dalam kalangan sukarelawan Malaysia.

Sukarelawan berusia antara 18 hingga 22 tahun itu terdiri daripada siswa beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta, kolej universiti, institusi pendidikan guru, kolej komuniti dan politeknik seluruh negara.

Sepanjang di Vietnam, sukarelawan berpeluang menjiwai dan memahami cara hidup penduduk tempatan dengan pelbagai aktiviti dan kerja amal seperti membina jalan, melukis mural di sekolah, mencantikkan taman permainan dan mengajar bahasa Inggeris.

Antara lokasi khidmat masyarakat termasuk di wilayah Nha Be dan wilayah Cu Chi.

Ketua Eksekutif KAYM Datuk Saroni Judi berkata, program itu selaras dengan hasrat kolej itu mahu melahirkan ikon Sukarelawan Mahasiswa di pentas global.

“Misi ini diharap mampu memberi impak positif kepada sukarelawan untuk menimba pelbagai ilmu, selain membina pengalaman menangani isu berkaitan kemasyarakatan.

“Sukarelawan turut memberi galakan mengenai kepentingan pendidikan di peringkat lebih tinggi kepada kanak-kanak dan generasi muda komuniti berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 1:33 PM