INDIA duduki tempat ketiga.
SKUAD hoki negara kecewa selepas tewas kepada India.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Hasrat skuad hoki negara untuk sekurang-kurangnya meraih tempat ketiga pada Festival Hoki Antarabangsa di Melbourne musnah selepas tewas 1-4 kepada India pada perlawanan penentuan tempat ketiga semalam.

Gergasi Asia itu ternyata terlalu unggul untuk skuad negara apabila berada di depan seawal minit kedua menerusi jaringan padang Akashdeep Singh sebelum memperoleh pukulan sudut penalti minit ke-45 yang disempurnakan oleh V Raghunath.

Bagaimanapun, Joel Van Huizen berjaya merapatkan jurang 20 saat sebelum berakhir suku ketiga hasil jaringan padang.

India memperoleh dua gol pantas dalam tempoh enam minit menerusi Talwinder Singh serta Rupinder Pal Singh masing-masing pada minit ke-52 dan 58.

“Kami bermula dengan buruk dan melepaskan gol awal. Tapi kemudian pemain mula memperbaiki rentak permainan.

“Kami melepaskan lagi gol sebelum Joel merapatkan jurang ketika berbaki 20 saat.

“Ketika pemain berusaha untuk mencari gol penyamaan, India menambah gol lagi,” kata ketua jurulatih skuad negara Stephen Van Huizen.

Sementara itu Australia selaku tuan rumah muncul juara selepas menewaskan New Zealand 3-1 pada aksi final.

Trent Mitton meletakkan Australia di depan pada minit ke-24 menerusi jaringan padang sebelum Christopher Bausor menambah gol kedua minit ke-37, juga hasil gol padang.

Kane Russell merapatkan jurang untuk New Zealand selepas tenang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-48.

Namun ketika Black Sticks berusaha untuk mencari gol penyamaan, Jeremy Hayward mengesahkan kemenangan Australia hasil gol padang seminit sebelum tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 11:21 AM