ANTARA pemilik Vespa yang menyertai sambutan ulang tahun ke-70.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

Sempena meraikan 70 tahun kehadiran Vespa di negara ini, pengimport dan pengedar Naza Premira Sdn Bhd (Naza Premira) melancarkan enam model terbaru terdiri iaitu varian GTS, PX dan Primavera selain Sprint ABS, Primavera ABS dan Sprint Adventure yang dipertingkatkan.

Menariknya, ketiga-tiga model istimewa sempena ulang tahun itu hanya didatangkan dengan warna eksklusif biru muda (Azzuro) sebagai kenang-kenangan.

Selain itu, tempat duduknya dibalut kulit berwarna coklat bersama sulaman logo ulang tahun ke-70 selain dipasang kotak belakang berwarna krom dan dilengkapkan bersama beg kulit berwarna coklat.

Ketua Pegawai Eksekutif Naza Premira, Farouk Faisal berkata, Vespa melakar sejarahnya tersendiri di negara ini dan masih popular walaupun menjangkau usia 70 tahun.

“Ini adalah ulang tahun Vespa ke-70 selepas model pertama Vespa 98 dibawa masuk ke negara ini pada 1946. Sejak itu, banyak peristiwa penting berlaku dan Vespa terus seiring bersama peredaran zaman,” katanya pada pelancaran sambutan di Publika Shopping Gallery, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Terdahulu, sambutan ulang tahun itu dimeriahkan dengan aktiviti konvoi Vespa terbesar membabitkan lebih 550 pemilik Vespa dari seluruh negara termasuk Pulau Pinang dan Johor.

Peserta dihiburkan dengan persembahan artis popular Amy Search yang menyertai konvoi berkenaan dari Naza Mall di Petaling Jaya.

Dalam pada itu, semua model baru yang dilancarkan berkuasa 150cc termasuk model PX 70th Anniversary dijana enjin dua lejang silinder tunggal ditawarkan harga jualan RM26,000 seunit.

Model empat lejang lain seperti GTS RM18,500 seunit, Primavera (RM16,488) manakala Sprint ABS (RM15,888), Primavera ABS (RM14,888) dan Sprint Adventure boleh dimiliki pada harga RM17,000 seunit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 11:14 AM