GAMBAR fail, penduduk Islam Uighur di luar masjid di Urumqi.

Urumqi: Pihak berkuasa China mengarahkan penduduk Islam di wilayah Xinjiang menyerahkan pasport masing-masing.

Dalam penjelasannya menerusi akhbar Global Times, pihak berkuasa berkata, langkah itu bertujuan untuk menjaga ketenteraman.

Mereka yang ingin menggunakan pasport itu semula perlu memohonnya di balai polis.

Penduduk yang enggan menyerahkannya kemungkinan tidak akan dibenarkan meninggalkan wilayah itu.

Majoriti penduduk Xinjiang beragama Islam dari etnik Uighur.

Untuk memperoleh pasport di wilayah berkenaan semakin sukar sejak 2015 berikutan tindakan kerajaan China mengekang penduduk Islam ke luar negara

Mereka diperlukan menyediakan pelbagai dokumen dan dilaporkan perlu menunggu sehingga lima tahun sebelum boleh mendapatkan pasport.

William Nee, penyelidik China di Amnesty International berkata: “Pihak berkuasa China meningkatkan lagi kawalan terhadap kehidupan penduduk Islam Uighur. Kini, hampir semua aspek kehidupan mereka sudah dikawal. Ini bukan untuk mengawal penjenayah ke luar negara bagi menjalani latihan pengganas seperti yang didakwa kerajaan. Ia bertujuan memastikan masalah penindasan etnik itu tidak tersebar. Itu yang dikhuatirkan kerajaan sebenarnya.”

Bulan lalu, kerajaan China mengumumkan dasar baru pelajaran yang melarang kanak-kanak digalakkan melakukan aktiviti keagamaan.

Arahan sebelum ini mengharamkan lelaki menyimpan janggut sementara wanita dilarang menutup aurat, khususnya bahagian kepala. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 9:45 AM