Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pencarian menggunakan helikopter sejak semalam masih belum menemui jejak dua rakyat Malaysia yang hilang mendaki Gunung Damavand, Iran.

Ketua Ekspedisi, Rozaimi Mohd Said, berkata selain udara, misi juga diteruskan menggunakan laluan darat.

"Belum ada tanda dua rakan kami itu. Usaha mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan sehingga Isnin memandangkan cuaca diramal tidak baik pada Selasa.

"30 penyelamat akan dihantar menggunakan helikopter, esok, jika cuaca baik. Jika tidak, mereka akan meneruskan operasi SAR menggunakan laluan darat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehingga ini, katanya, enam ahli SAR sudah berada di kawasan pergunungan itu termasuk ahli ekspedisi, Mohd Khafiz Bachok.

"Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan yang terdiri daripada tiga orang dan ditempatkan di bahagian selatan dan timur gunung itu.

"Fokus pencarian adalah pada ketinggian 4,200 meter hingga ke puncak," katanya.

KRONOLOGI

b>25 November

Helikopter yang diperoleh pasukan SAR berlepas bagi menjejaki dua rakyat Malaysia yang hilang ketika mendaki Gunung Damavand, Iran.

24 November

Pasukan SAR berjaya memperolehi khidmat helikopter daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Tehran dalam misi menjejaki dua rakyat Malaysia yang hilang ketika mendaki Gunung Damavand, Iran.

Roslida Ablah, 41, isteri, Ramli Abdul Majid, 44, berlepas ke Tehran, Iran 7.05 malam dari klia2 bagi menyertai pencarian suaminya yang dilaporkan hilang di Gunung Damarvand. Turut berlepas bersama ialah Yuszahanim Yusoff iaitu isteri Syed Redzuan Syed Salim.

Pasukan SAR berunding dengan Kedutaan Malaysia untuk menggunakan helikopter dalam misi menjejaki dua rakyat Malaysia, Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, dan Ramli Abd Majid, 44, yang hilang ketika mendaki Gunung Damavand, Iran.

Ketua Ekspedisi, Rozaimi Mohd Said berkata, misi SAR mula digerakkan seawal 7 pagi semalam (waktu Iran), selepas Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, dan Ramli Abdul Majid, 44, tidak kembali ke Kem 3 yang terletak pada ketinggian 4,200 meter sejak 9 malam Isnin lalu.

23 November

Kementerian Luar kata bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Iran bagi mengesan dua rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang di Gunung Damarvand, Iran sejak 21 November.

21 November

Dua pendaki, Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, dan Ramli Abdul Majid, 44, hilang selepas tidak kembali ke Kem 3 yang terletak pada ketinggian 4,200 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 5:45 PM