PEMAIN AS Monaco Bernardo Silva (tengah) dikepung pemain Spurs.
AFP

London: Tottenham Hotspur berdepan ujian getir apabila bertandang ke Stamford Bridge - venue sama yang menyaksikan mereka seri 2-2 dengan Chelsea sekali gus menamatkan peluang untuk muncul juara musim lalu.

Ketika itu, sembilan pemain Spurs dilayangkan kad kuning dan Mousa Dembele digantung enam perlawanan kerana mengasari Diego Costa, 2 Mei lalu dan keputusan aksi itu membolehkan Leicester City dinobatkan selaku juara.

Skuad Mauricio Pochetttino itu akan sekali lagi cuba mengetepikan semua rasa kecewa apatah lagi mereka sudah pun tersingkir daripada siangan Liga Juara-Juara gara-gara tewas di tangan Monaco tetapi penjaga gol Hugo Lloris berkata, mereka akan menjadikan kunjungan ke Chelsea sebagai medan untuk bangkit.

“Saya pernah mengatakan perkara sama selepas kami tewas di tangan (Bayer) Leverkusen di Wembley: ini adalah perlawanan terbaik untuk kami bangkit,” kata pemain antarabangsa Perancis itu selepas mereka tumbang 1-2 kepada Monaco di Stade Louis II, Rabu lalu.

“Satu-satunya perkara yang boleh kami lakukan ketika ini ialah lupakan perkara lalu dan terus memandang ke depan.

“Ia kekecewaan yang sangat berat buat kami tetapi kami perlu melupakan segala-galanya kerana kami akan menghadapi perlawanan penting, Sabtu (malam ini).”

Harry Kane meledak dua gol ketika membantu Spurs bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan West Ham United 3-2 di White Hart Lane sebelum ini.

Tetapi itulah satu-satunya kemenangan yang diraih Spurs sepanjang sembilan perlawanan dalam semua pertandingan dan ia mengakibatkan pasukan itu tersadai di tangga kelima, empat mata di belakang pendahulu, Chelsea.

Chelsea pula lebih cemerlang apabila menang semua enam perlawanan terakhir tanpa melepaskan sebarang gol dan mereka pasti bersandar kepada rekod tanpa kalah di tangan Spurs setiap kali bermain di tempat sendiri sejak 26 tahun lalu.

Pertahanan tengah Gary Cahill berkata, adalah penting untuk pemain tidak terbawa-bawa dengan rekod itu.

“Kami gembira dengan usaha kami tetapi liga kami belum habis lagi,” katanya.

“Masih banyak lagi aksi yang belum dimainkan - Krismas juga masih jauh - justeru, kami perlu terus bermain seperti biasa dan cuba menghasilkan persembahan seperti yang kami lakukan sejak beberapa minggu lalu.”

Jika Chelsea tercicir mata, Liverpool dan Manchester City - kedua-duanya hanya ketinggalan satu mata - berpeluang memintas Blues di tangga teratas liga.

Liverpool yang kehilangan tempat teratas selepas sekadar seri tanpa jaringan di Southampton minggu lalu, akan melayan kunjungan Sunderland manakala City akan bertandang ke Burnley.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 5:11 AM