GAMBAR hiasan.

Singapura: Kementerian Pertahanan republik ini semalam berkata, sembilan kereta perisai dan kelengkapan tenteranya yang di bawa dengan kapal ditahan oleh pihak berkuasa kastam di Hong Kong.

Akhbar Straits Times Singapura melaporkan, kapal yang membawa kenderaan infantri lapan roda itu, Terrex berlepas ke Singapura dari Kaohsiung, selatan Taiwan apabila ia ditahan.

Penahanan itu dibuat selepas China menyuarakan rasa kurang senang terhadap pendekatan Singapura berkait dengan pertikaian tuntutan wilayah di Laut China Selatan.

Meskipun tidak terbabit dalam tuntutan bertindih itu, Singapura mencetuskan kemarahan Beijing apabila ia menyokong usul negara yang terbabit dalam tuntutan berkenaan mesti mematuhi undang-undang antarabangsa.

Menurut kenyataan kementerian Singapura, tidak ada senjata di dalam kapal berkenaan.

“Ia ditahan selepas kastam di Hong Kong meminta untuk menjalankan pemeriksaan rutin,” menurut kenyataan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 5:11 AM