Ahmad Rabiul Zulkifli
sukan@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Hasrat Projek Akademi Sepak Takraw Terengganu (PASTA) untuk memperoleh kemudahan infrastruktur sukan seperti empat gelanggang latihan di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin (SMKPM) masih tidak kesampaian apabila pihak berwajib belum menjalankan sebarang kerja baik pulih seperti mana pernah dipohon sejak 2014.

Pengerusi Bersama PASTA Dr Mohammad Omar berkata, pihak bertanggungjawab sepatutnya menghargai PASTA yang selama ini sudah banyak melahirkan atlet sepak takraw yang berpotensi sehingga terpilih menyertai pasukan kebangsaan serta negeri di temasya Sukan Malaysia (SUKMA).

“Sudah sampai masanya kerajaan negeri membantu PASTA dengan menyediakan kemudahan diperlukan selain peruntukan untuk tujuan pengurusan bagi memastikan kami dapat terus melatih lebih ramai pemain berkebolehan.

“Kesungguhan pelatih PASTA memberi fokus jitu dalam setiap latihan biarpun selama ini terpaksa berlatih di gelanggang kurang sempurna harus dipuji dan dihargai. Malah kesediaan PASTA meminjamkan pemain elit bawah 15 dan 18 tahun kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) dan kebangsaan sepatutnya dihargai.

“Kami tidak membuat permohonan mengarut yang membabitkan kos sehingga jutaan ringgit tapi sekadar ingin memperoleh kemudahan infrastruktur sukan untuk kegunaan atlet yang semestinya akan memberi pulangan kepada negeri dan negara,” katanya.

Mohammad berkata, pihaknya juga berharap PASTA diberi kemudahan gimnasium dalam waktu terdekat ini bagi memastikan pelatih dapat menjalani latihan yang lengkap dan tidak terhad hanya di gelanggang saja.

“Sehingga kini, pemain menggunakan gimnasium di pusat sukan MSN namun tidak praktikal kerana jarak jauh untuk berulang alik ke MSN yang terletak di Gong Badak.

“Kewujudan gimnasium di akademi sangat penting kerana pelatih bukan hanya perlu berlatih di gelanggang, kekuatan kaki juga perlu dilatih di gimnasium sekali gus memastikan kecergasan mereka berada pada tahap maksimum,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap permohonan PASTA itu dapat diteliti bagi memastikan akademi terus melahirkan pelatih dan atlet yang mempunyai kualiti untuk menjamin pembangunan sukan sepak takraw negeri dan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 5:09 AM