CORAK ditempah khas tambah nilai eksklusif kerana tidak dijual di tempat lain.
Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

Membuat sendiri rekaan setiap koleksi pakaian menggunakan kain dengan corak ditempah khas, menjadikan Heidaia Boutique, istimewa dan berbeza berbanding pesaingnya.

Sentiasa tampil dengan pilihan terbaru yang unik untuk pelanggan, kali ini butik berkenaan menawarkan pakaian kurung ‘baby doll’, blaus labuh dan tunik labuh dengan corak sayap rama-rama.

Lebih menarik, berbeza dengan butik lain, setiap pakaian yang ingin dibeli pelanggan, dijahit mengikut ukuran tepat saiz tubuh pelanggan supaya baju itu terletak cantik pada badan pemakai.

Menurut pemilik Heidaia Boutique, Bidayatul Hidayah Mohd Abidin, bagi setiap corak juga, rekaan ditampilkan dalam material berbeza seperti sifon Itali, satin dan kain skuba, bagi memenuhi cita rasa pelanggan.

Pemilihan kain skuba kerana ia sesuatu yang terkini dan sering menjadi pilihan pereka di peringkat antarabangsa, selain boleh diregang untuk keselesaan pemakai.

“Saya turut menghasilkan tudung dengan corak sama bagi pelanggan yang mahu gaya sedondon. Corak yang ditempah khas juga menambah nilai eksklusif pakaian kerana ia tidak dijual di tempat lain.

“Cara kami berbeza kerana apabila pelanggan membuat tempahan, mereka boleh memberi maklumat mengenai saiz tubuh dengan mengikut ukuran yang sudah diberi.

“Melalui cara itu, pakaian yang mereka beli akan terletak cantik pada tubuh dan sesuai dengan saiz badan masing-masing, sama seperti jika mereka membeli kain dan menempahnya,” katanya yang turut memaparkan koleksi pakaian itu di Facebook Heidaia Boutique dan Instagram heidaiaboutique.

Memperkatakan mengenai ilham rekaannya itu, Bidayatul Hidayah akui dia suka mencuba sesuatu yang baru dan membuat rekaan tersendiri, untuk tampil berbeza berbanding pereka lain.

Pernah bertugas sebagai arkitek, dia mula aktif menghasilkan koleksi pakaian sendiri sejak dua tahun lalu dan akan menghasilkan kira-kira tiga hingga empat rekaan setiap bulan.

“Saya banyak menghasilkan pakaian yang boleh digayakan ke pejabat atau dipakai untuk bersantai.

“Koleksi pakaian dari butik ini sesuai untuk semua saiz badan kerana kami ada ukuran yang boleh ditempah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 5:01 AM