Pertemuan ahli keluarga Syed Redzuan dan Ramli dengan kedutaan Malaysia di Iran serta pasukan mencari dan menyelamat (SAR). FOTO ihsan
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Helikopter yang diperoleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) akan berlepas dalam masa satu jam lagi hari ini bagi menjejaki dua rakyat Malaysia yang hilang ketika mendaki Gunung Damavand, Iran.

Jurucakap pasukan SAR, Mohd Khafiz Bachok berkata, dia dan empat anggota pasukan SAR beserta jurukamera akan mengelilingi Gunung Damavand kira-kira jam 12.45 tengahari waktu tempatan.

"Keadaan cuaca sekarang baik dan helikopter akan berlepas bagi meneruskan operasi SAR.

"Sekiranya tiada tanda dua rakan yang hilang di kawasan carian, kami akan turun di Vasmin Ridge dan fokus ke laluan Timur," katanya menerusi Whatsapp, hari ini.

Pada 21 November lalu, dua pendaki iaitu Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, dan Ramli Abdul Majid, 44, hilang selepas tidak kembali ke Kem 3 yang terletak pada ketinggian 4,200 meter.

Sementara itu, Mohd Khafiz berkata, ahli keluarga Syed Redzuan dan Ramli juga sudah bertemu dengan pihak kedutaan dan pasukan SAR untuk keterangan lanjut berkenaan kehilangan serta operasi SAR.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2016 @ 4:57 PM