MOHD Jamalludin berbual dengan Zamrizan Angah, 11, ketika melawat pesakit Orang Asli yang dijangkiti malaria di Hospital Gerik, hari ini. FOTO Supian Ahmad
Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my


Gerik: Jabatan Kemajuan Orang Asli menempatkan pegawainya di laluan darat ke Pos Kemar, di sini, untuk memantau pergerakan keluar masuk masyarakat Orang Asli sebagai langkah memastikan malaria spesies Plasmodium Vivax (P Vivax) tidak menular.

Ketua Pengarahnya Mohd Jamalludin Kasbi berkata, pihaknya menasihatkan masyarakat Orang Asli supaya mengurangkan pergerakan keluar masuk bagi mengelak wabak berkenaan menular kepada penduduk di perkampungan lain.

“Kita boleh kawal daripada segi laluan air (bot dari jeti Tasik Temenggor ke Pos Kemar) namun jalan darat agak sukar. Apa yang kita boleh lakukan adalah mengurangkan pergerakan keluar masuk dari kawasan kampung itu.

“Jabatan Kesihatan Perak turut membantu melakukan saringan supaya hanya mereka yang bebas wabak dibenarkan keluar masuk dari kawasan itu," katanya kepada media selepas melawat masyarakat Orang Asli yang dijangkiti malaria di Hospital Gerik, di sini, hari ini.

Mohd Jamalludin berkata, sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 65 pesakit yang kebanyakannya dari Kampung Senangit, Pos Kemar ditempatkan di hospital berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2016 @ 4:17 PM