GAMBAR hiasan.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

 

Johor Bahru: Doktor perubatan swasta didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap tuduhan mengambil pekerja bukan pengamal perubatan sebagai doktor di klinik di Taman Universiti, Skudai, Januari lalu.

Hakim Elisabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas Dr N Gunatheesan, 68, mengaku bersalah terhadap tuduhan dihadapinya.

Mengikut kertas tuduhan, tertuduh yang juga pemilik klinik itu didakwa mengambil pekerja, Jogindar Singh Parkash Singh, 68, yang bukan pengamal perubatan berdaftar mengikut Akta Perubatan 1971 (Akta 50).

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di No 16, Jalan Kebudayaan 1, Taman Universiti, Skudai, 12.30 tengah hari 18 Januari lalu dan didakwa mengikut Perenggan 31(1)(C), Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 31(3) akta sama.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang diwakili Datuk K Kumaraendran memohon hukuman ringan dengan alasan tertuduh sendiri tidak tahu bahawa Jogindar bukan doktor.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Kesihatan Malaysia Nurul Khairiyah Samsudin.

Pada 18 Februari lalu, Jogindar turut didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, kerana menipu pesakit di klinik berkenaan sejak dua tahun lalu.

Tertuduh mengaku bersalah menipu pesakit di Klinik Theesan dengan menyamar sebagai Doktor Ashok bagi memperdayakan pesakit supaya mempercayai dia doktor.

Warga emas itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di klinik itu antara 2014 hingga 18 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 11:06 PM